INTER 2 MILAN 0

Romelu Lukaku memuji hubungan baik dengan ketua jurulatih, Antonio Conte, selepas menjaringkan gol ketika Inter meraih kemenangan 2-0 ke atas AC Milan dalam 'derby' Milan, awal pagi tadi.


Bekas penyerang Manchester United itu mendedahkan motivasi tambahan hadir menerusi Conte, yang membimbing Inter untuk merakamkan kemenangan keempat berturut-turut dalam Serie A.

Inter ternyata merupakan pasukan yang lebih cemerlang, dengan Marcelo Brozovic membuka jaringan pada minit ke-49 sebelum tandukan Lukaku 12 minit sebelum tamat perlawanan memastikan tiga mata penuh.

Skuad kendalian Conte itu turut menggegar palang gol lawan tiga kali dan beberapa siri percubaan yang berjaya dinafikan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.

Bagi Lukaku, kemenangan meyakinkan itu merupakan respons terbaik selepas seri dengan Slavia Prague dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu.

"Hubungan saya dengan Conte sangat akrab," katanya.

"Dia banyak membantu saya. Conte sentiasa memotivasi dan membantu saya setiap hari.

"Saya sangat gembira kerana dapat bekerja bersama Conte. Ini merupakan perlawanan yang penting dan kami berjaya meraih tiga mata.

"Inter menghadapi kesukaran berdepan Slavia Prague tetapi bangkit dengan kemenangan ini."

Pengendali kelahiran Itali, Conte, percaya masih banyak lagi yang mampu diberikan oleh Lukaku dan berasakan bergelut dalam saingan Eropah memacu kemenangan pasukan.

"Lukaku baru sahaja berusia 26 tahun dan memiliki potensi yang besar. Jika kami dapat meningkatkan kemampuannnya, dia akan menjadi seorang pemain yang penting.

"Seri dengan Slavia, Inter terpaksa menerima keputusan yang mengecewakan dan kemenangan ini sekali lagi meningkatkan keyakinan kami.

"Setiap pemain beraksi cemerlang dan kemenangan ini berhak diraih. Saya sangat gembira," tambah pengurus itu.