Ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte, menasihatkan agar Maurizio Sarri berasa selesa dengan kemewahan kelabnya selepas pengendali Juventus itu meluahkan rungutannya untuk beraksi pada waktu petang.

Sari duduk di bangku jurulatih buat kali pertama ketika Juve terikat 0-0 dengan Fiorentina semalam, selepas pulih daripada radang paru-paru.

Juara Serie A itu kehilangan khidmat Douglas Costa dan Miralem Pjanic ekoran ketegangan otot yang dikatakan berpunca daripada cuaca panas di Florence.

Namun, Conte percaya skuad Bianconeri itu tidak boleh memberikan sebarang alasan untuk tidak beraksi baik.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa kerana jika tidak, saya perlu mengeluarkan belanjawan, jumlah keuntungan dan kunci kira-kira," kata Conte, yang pernah menghabiskan tiga musim selaku pengendali Juve.

"Apa yang saya boleh katakan ialah seseorang yang mengendalikan pasukan terkuat itu perlu lebih tenang dan berasa selesa."

Dengan Bianconeri buntu untuk memecahkan kebuntuan itu, Inter kendalian Conte mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga dengan kelebihan dua mata.

Gol Stefano Sensi dalam babak pertama memastikan Nerazzurri menewaskan Udinese 1-0 bagi meneruskan permulaan sempurna mereka musim ini.

Conte, bagaimanapun, memberi amaran buat pemainnya agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan itu.

"Kami sedang berkembang dan saya gembira dengan kematangan kami ketika ini.

"Tetapi saya juga tahu anda (media) sedang menunggu masa untuk menghentam kami sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

"Kami perlu berpijak di bumi yang nyata. Biarkan orang lain berkata dan kami perlu senyap dan menjalankan tugas kami," tambahnya.