INTER MILAN 2 HELLAS VERONA 1

Antonio Conte memuji respons yang ditunjukkan Inter Milan selepas tewas kepada Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu ini dengan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Hellas Verona 2-1 dalam perlawanan LaLiga di San Siro awal pagi tadi.


Gol penalti Valerio Verre memberikan pelawat gol pendahuluan tetapi Inter bangkit dalam babak kedua menerusi gol tandukan Matias Vecino dan jaringan gemilang Nicolo Barella.

Kemenangan itu turut meletakkan Inter di puncak Serie A dan Conte gembira dengan keinginan pemainnya untuk memberikan respons selepas tewas 2-3 di Jerman.

"Saya dapat lihat respons penting selepas perlawanan dengan Dortmund. Walaupun ketinggalan, kami bangkit untuk menewaskan pasukan yang amat kental," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ia situasi yang amat baik buat mereka di mana mereka boleh bertahan dan melakukan serangan balas.

"Kami melakukannya dengan amat baik untuk tidak hilang kesabaran, untuk terus percaya dan tidak hilang pertimbangan.

"Kami mengatasi keputusan dan situasi perlawanan.

"Pasukan kami telah melakukan sesuatu yang penting.

"Memiliki 31 mata daripada 12 perlawanan merupakan sesuatu yang amat baik.

"Saya berterima kasih kepada pemain, mereka sekali lagi terperangkap dengan situasi ini dan melepasi halangannya.

"Kekecewaan di Dortmund amat perit kerana kami mendahului tetapi ia adalah sebahagian daripada proses kematangan dan respons seperti inilah yang saya mahu lihat.

"Selepas Dortmund, tewas di sini boleh memusnahkan kami tetapi kami bangkit dan perlu meneruskannya selepas ini.

"Penyokong kami juga membantu kerana mereka mahu kami menang tanpa mengira apa caranya," katanya.

Barella menghasilkan gol gemilang dari jarak 25 ela untuk memastikan tiga mata buat Inter.

Pemain tengah itu mengakui ia merupakan jaringan terbaik sepanjang kariernya.

"Ia amat sukar dalam babak pertama kerana Verona beraksi baik, mereka mempunyai keamatan dan menyukarkan kami.

"Selepas rehat, keamatan kami semakin meningkat dan lebih layak menang.

"Saya fikir ia adalah gol terbaik sepanjang karier saya," katanya.

Juventus akan kembali memintas Inter di tangga teratas Serie A sekiranya menewaskan AC Milan di Stadium Allianz awal pagi esok.