NEWPORT 1 MANCHESTER CITY 4

Pep Guardiola berasakan pemain-pemain Manchester City telah menampilkan kemampuan sebenar ketika menewaskan Newport County 4-1 untuk melangkah ke suku akhir Piala FA.


Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu gagal meledak sebarang jaringan dalam 45 minit pertama di Rodney Parade, awal pagi tadi, dan hampir ketinggalan kepada kelab Liga Dua itu walaupun mendominasi permainan.

Bagaimanpun, Leroy Sane memecah kebuntuan enam minit selepas permainan bersambung sebelum dua gol disumbat Phil Foden dan Riyad Mahrez melengkapkan kemenangan City.

Guardiola memberitahu BT Sport: "Ia perlawanan yang sukar. Kami percaya ia sudah berakhir (ketika 2-0) sebelum Padraig Amond mengurangkan defisit jaringan.

"Dua gol daripada Foden telah berjaya mengurangkan semula tekanan yang diberikan oleh pasukan tuan rumah.

"Pemain-pemain membuktikan kemampuan sebenar. Saya menghargai usaha mereka di atas persembahan ini.

"15 hingga 20 minit pertama sangat sukar buat kami. Lawan telah mempamerkan permainan hantaran jauh yang berkualiti tetapi sejurus perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua, kami telah melakukan beberapa perubahan."

Newport, yang menghuni tangga ke-15 saingan divisyen empat, memberikan persembahan berkualiti dan Guardiola menambah, "Saya sangat-sangat kagum, penyokong tuan rumah turut memainkan peranan. Saya agak terkejut dengan kedudukan mereka dalam saingan liga.

"Saya mula mengenali bola sepak Inggeris dan mengapa piala ini sangat penting buat pasukan di England -- mereka menggunakan kekuatan fizikal dan sebab itu saingan ini penuh dengan kejutan."

Aksi seterusnya buat City adalah perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Schalke sebelum perlawanan akhir Piala EFL menentang Chelsea, Ahad depan.

"Kami masih lagi dalam empat kejohanan dan menerima setiap cabaran. Kami perlu beralih tumpuan serta membuat persiapan daripada segi taktikal.

"Kesalahan terbesar adalah mempercayai anda lebih bagus daripada pasukan lawan. Kesilapan ini berlaku ketika Manchester United bertemu PSG."