Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun, berpendapat skuad negara masih belum tiba ke tahap kritikal sehingga memerlukan khidmat pemain naturalisasi.

Cadangan pengambilan pemain naturalisasi hangat diperkatakan ketika ini dan menerima pelbagai pandangan, tidak kira positif atau negatif.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, memberi reaksi positif terhadap cadangan itu sambil menuntut agar tidak mengabaikan pemain tempatan.

Bagi Chin Aun, inisiatif itu dapat memberikan impak segera kepada skuad negara tetapi pengambilan pemain naturalisasi perlulah berdasarkan merit serta keupayaan mereka.

"Saya rasa kita harus berhati-hati dan mencari pemain yang benar-benar berpotensi.

"Kita juga harus memastikan latar belakangnya serta mengelakkan daripada membawa masuk pemain yang tidak bermain bola dengan sepenuh hati," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk N. Thanabalan, tidak bersetuju bahawa pemain naturalisasi merupakan langkah tepat dalam meningkatkan pasukan negara.

"Saya tidak setuju. Malaysia memiliki sekitar 25 juta penduduk dan mengapa kita perlu mendapatkan pemain melalui proses naturalisasi?

"Ia tidak perlu. Bagi saya, ia merupakan satu kegagalan kerana setiap negeri akan mendapatkan pemain naturalisasi dan apa yang akan terjadi kepada pemain tempatan?

"Jika Malaysia memiliki jurulatih yang bagus, saya rasa mereka mampu meningkat. Itu yang berlaku ketika era 60-an serta 70-an. Kami menewaskan Jepun dan Korea Selatan melalui jurulatih yang bagus dan pemain-pemain tempatan mempamerkan aksi bola sepak yang menarik," tambah Thanabalan.

Chin Aun dan Thanabalan ditemui ketika Kejohanan Bolasepak Jemputan Tujuh Sebelah anjuran Kelab Diraja Selangor (RSC) di Bukit Kiara, hari ini.

Majlis pembukaan kejohanan itu disempurnakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.