Biarpun hadir dengan status pasukan dengan pemain separuh profesional, pemain tengah Bhutan, Chimi Dorji, memberi jaminan pasukan negaranya akan turun dengan semangat tinggi berdepan Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa 'A' di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Bagi pemain kelab Thimpu City ini, sudah pasti Harimau Malaya akan turun sebagai pasukan pilihan berdasarkan status pemain negara yang profesional sepenuhnya serta memiliki lebih pengalaman antarabangsa.

Chimi mengakui teruja dapat beraksi di prasarana canggih seperti Stadium Nasional namun memberi jaminan, dia dan rakan sepasukan akan mengerah segala kudrat bagi mencuba memberi saingan kuat kepada skuad kebangsaan.

"Kami sebuah pasukan sederhana, jadi sudah tentu peluang bertemu Malaysia merupakan satu penghormatan yang besar kepada Bhutan untuk menimba pengalaman berharga.

"Kami sedar Malaysia sebuah pasukan mantap," kata Chimi Dorji.

Tambah Chimi, bola sepak di negaranya baru saja mula berkembang dengan penganjuran Liga Kebangsaan Bhutan pada 2012.

Kerana itu, sebahagian besar pemain adalah separuh profesional dan juga golongan pelajar universiti.

Chimi juga berharap, aksi dengan Malaysia mampu menambah pengalaman skuad Bhutan kendalian Trevor Morgan ini yang sebahagian besar berusia bawah 25 tahun.

"Kami berharap kami menimba pengalaman yang baik, jelas sekali Malaysia adalah pilihan dalam perlawanan ini.

"Kami baru sahaja kalah besar kepada Maldives tempoh hari, jadi kami perlu turun dengan aksi terbaik," katanya lagi.