Valencia mengesahkan telah memeterai perjanjian tetap dengan Denis Cheryshev daripada Villarreal.

Pemain sayap Russia itu yang membintangi Valencia secara pinjaman musim lalu, bersetuju mengikat perjanjian tetap selama tiga tahun.

Semalam, Valencia mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa ia telah mencapai kesepakatan dengan bintang Piala Dunia 2018 itu, termasuk klausa pelepasan bernilai €80 juta (RM371.4j).

Juara Copa del Rey itu dilaporkan membayar kurang daripada €7j (RM32.5j) daripada jumlah yang dituntut kelab asalnya.

Cheryshev, 28, tidak dapat beraksi dalam kemenangan Copa del Rey ke atas juara LaLiga, Barcelona, ekoran dilanda kecederaan.