Pemain antarabangsa Russia, Denis Cheryshev, menyertai Valencia secara pinjaman jangka panjang daripada seteru LaLiga, Villarreal.

Valencia mengumumkan perjanjian itu dalam satu kenyataan ringkas di laman sesawang rasmi mereka dan tidak mendedahkan sama ada perpindahan berkenaan turut termasuk hak untuk membeli pemain tengah berusia 27 tahun itu.

Cheryshev merupakan salah satu bintang tuan rumah dalam kempen Piala Dunia 2018 dengan menjaringkan empat gol dalam lima penampilan untuk membawa mereka mara ke suku akhir selain menyempurnakan penaltinya ketika melakar kejutan menyingkirkan Sepanyol dalam pusingan 16.

Dia pernah menikmati tempoh pinjaman di Valencia semasa bergelar pemain Real Madrid pada 2016 apabila merakamkan tiga jaringan dalam enam aksi kesebelasan utama LaLiga.

Rekod itu termasuk semasa tempoh sementaranya di Villarreal sebelum Cheryshev menyertai secara tetap pada Jun 2016. Dia bagaimanapun bergelut untuk mengekalkan kedudukan dalam skuad utama. Dia membuat 24 kemunculan liga pada 2017-18, namun hanya memulakan permainan sebanyak sembilan kali.

Ketibaan Cheryshev meneruskan minggu sibuk Valencia dalam pasaran perpindahan selepas berhasil mengikat dua penggempur, Michy Batshuayi dan Kevin Gameiro, menjelang aksi pembukaan menentang Atletico Madrid, Isnin depan.