Status pemain sayap Harimau Malaya, Mahamadou Sumareh, masih menjadi tanda tanya tatkala pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, menyimpan hajat untuk mengutip tiga mata di Hanoi menjelang perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2018, Jumaat ini.

Sumareh tidak diturunkan ketika menentang Laos, Isnin lalu, kerana dilaporkan mengalami kecederaan paha dan sehingga kini, pemain sayap dari Pahang itu masih belum pulih walaupun Cheng Hoe hanya mempunyai dua hari lagi untuk menilai tahap kecergasan pemain naturalisasi itu.

Jika keadaan terdesak, Cheng Hoe tidak teragak-agak untuk mempertaruhkan sentuhan Sumareh berdasarkan kemampuan pemain itu ketika menjana jaringan.

"Memang selepas rehat susulan aksi berdepan Kemboja, kami dapat lihat Sumareh telah memulihkan tahap kecergasannya bagi menentang Vietnam jika diturunkan," kata Cheng Hoe.

Kunjungan Malaysia ke Hanoi juga berbekalkan misi untuk mencari mata penuh bagi menjamin slot ke separuh akhir, sekali gus mengelak daripada bertemu pasukan pilihan, Thailand, yang dijangka akan menguasai Kumpulan B.

"Kami perlu menyasarkan keputusan positif. Kalau dapat kemenangan, kami sah ke separuh akhir. Apa yang penting, kami tidak mahu tewas."