Selepas mengalami kekalahan kepada Taiwan dalam perlawanan terdahulu, skuad bola sepak negara kini memburu keputusan positif menjelang pertemuan dengan Kemboja, malam ini.

Siri persahabatan yang dirangka itu dijadikan sebagai persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF, November ini, di mana Kemboja turut menjadi lawan Malaysia dalam Kumpulan B.

Berdasarkan rekod pertemuan sejak tahun 1956, Malaysia sememangnya menjadi pilihan dalam pertemuan kali ini apabila mencatatkan 11 kemenangan daripada 14 pertemuan.

Namun, rekod di atas kertas tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan kerana Kemboja kini dilatih oleh pemain berpengalaman Jepun serta bekas peledak utama CSKA Moscow dan AC Milan, Keisuke Honda.

Malah, ada beberapa pemain Kemboja mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia seperti Theirry Chantha Bin yang masih bersama Terengganu, Keo Sokpeng dan Prak Mony Udom, sekali gus mampu menjadi duri dalam daging.

Bagi ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, dia mahu anak buahnya melupakan kekalahan terdahulu dan tidak berasa tertekan dalam perlawanan malam ini.

"Kami tahu mereka mempunyai tiga orang pemain yang masih atau pernah beraksi di Malaysia, jadi sudah pasti mereka tahu kekuatan dan kelemahan Malaysia. Mungkin berbekalkan tenaga pengendali dari Jepun, mereka akan memberikan perubahan besar.

"Jadi, saya berharap agar pemain-pemain kebangsaan kekal tenang dan memberikan yang terbaik. Saya menggunakan aksi persahabatan untuk mendapatkan kombinasi terbaik di setiap posisi," kata Cheng Hoe.

Malaysia dijangka akan menurunkan kesebelasan yang berbeza dalam pertemuan menentang Kemboja malam ini.