Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak menganggap perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan kejohanan empat negara Mac depan sebagai tekanan untuk memungut mata ranking, sebaliknya berasakan ia pendedahan terbaik menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 pertengahan tahun ini.

FAM menerusi timbalan presidennya, Datuk Wira Yusoff Mahadi, semalam mengesahkan badan induk itu bakal menganjurkan kejohanan empat negara Mac depan.

Ia sebagai medan terbaik buat skuad kebangsaan melonjak ke kedudukan lebih baik dalam ranking dunia menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 merangkap kelayakan Piala Asia 2023, pertengahan tahun ini.

Cheng Hoe bersikap positif dengan perancangan badan induk itu walaupun kejohanan berkenaan tampak menjadi misi penting buat pasukannya nanti.

"Untuk layak ke Piala Asia, FAM perlu mula mencari pasukan yang lebih kuat di rantau Asia supaya kami dapat bersedia menangani pasukan yang lebih kuat daripada kami.

"Ia bukanlah tekanan, sebaliknya sebagai persiapan awal," katanya.

FAM merancang untuk mengadakan kejohanan itu dalam waktu kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu dari 19 hingga 27 Mac depan.

Selain pasukan dari Asia Tenggara, dua pasukan dari Asia Barat, dua pasukan dari Asia Timur dan sebuah pasukan dari Oceania yang berada di ranking lebih tinggi daripada Malaysia, berada dalam senarai pasukan jemputan FAM.

"FAM memerlukan pasukan yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka untuk menjemput pihak lawan menyertai kejohanan yang bakal dianjurkan.

"FAM perlu menjemput pasukan seperti Jepun, Bahrain dan Syria atau pun pasukan Asia Tenggara seperti Thailand dan Filipina yang mempunyai rekod yang cemerlang di peringkat Asia ketika ini," kata pemerhati bola sepak, Hasnizam Uzir.