Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, memuji keberanian penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, yang berhijrah ke Thailand bersama kelab Liga Satu, Nakon Ratchasima.

Bagi jurulatih itu, ketersediaan penyerang kebangsaan itu ke Thailand membuktikan keberaniannya untuk berjaya sebagai pemain profesional yang seharusnya dicontohi pemain-pemain lain.

Cheng Hoe percaya penghijrahan bekas pemain Harimau Muda B itu akan mematangkan lagi permainannya.

Shahrel semalam berlepas ke Thailand untuk menyertai Nakon Ratchasima, kelab yang berpangkalan di utara negara jiran itu.

"Liga Thailand adalah liga yang terbaik di rantau Asia Tenggara. Saya berharap ramai lagi pemain-pemain Malaysia meraih pengalaman di sana," katanya.

Shahrel tidak tersenarai dalam skuad negara untuk aksi persahabatan berdepan Fiji bulan depan kerana pembabitannya bersama PKNP FC dalam separuh akhir pertama Piala FA sebelum ini.

Namun, Cheng Hoe mengesahkan pemain itu akan dipertimbangkan untuk lima lagi aksi persahabatan antarabangsa menjelang Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

Malah, pengendali itu tidak menolak kemungkinan menghantar salah seorang penolong jurulatih skuad kebangsaan ke Thailand pada 30 Jun ini bagi menyaksikan perlawanan pertama Shahrel bersama kelab barunya berdepan Sukhothai FC.

Ia kerana Sukhothai turut diwakili seorang lagi pemain tempatan, iaitu bekas pemain berdarah kacukan Felda United, Curran Singh Ferns.

"Jika terdapat peluang, saya akan meninjau sekali bersama penolong jurulatih untuk melihat persembahan kedua-dua pemain ini," tambahnya.