Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mempertimbangkan dua pertahanan lain, iaitu Syazwan Tajuddin dan Adib Zainuddin, selepas Rizal Ghazali terpaksa digugurkan ekoran kecederaan.

Seramai 29 pemain telah dipanggil, namun hanya Rizal yang gagal untuk bersama skuad negara gara-gara kecederaan serius yang dialami ketika aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Pahang, semalam.

Walaupun sudah memiliki dua nama yang sedang dipertimbangkan, Cheng Hoe memilih untuk terlebih dahulu berbincang dengan barisan kejurulatihannya sebelum membuat keputusan esok.

"Saya berasakan Rizal perlu direhatkan dan tidak akan bersama skuad kebangsaan. Kami akan membuat penilaian untuk menggantikan kekosongan itu," kata Cheng Hoe.

Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, tiada dalam sesi latihan pertama skuad negara, namun akan melaporkan diri secepat mungkin kerana mengutamakan urusan keluarga ketika ini.

Cheng Hoe mengharapkan kedudukan Malaysia di ranking ke-178 dunia mampu diperbaiki menerusi perancangan aksi persahabatan yang akan diusulkan selepas ini.

"Saya berharap perancangan yang telah diatur dapat dijalankan dan komitmen penuh ditagih daripada setiap pemain yang beraksi bagi memperbaiki kedudukan ranking Malaysia," ujarnya.