Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengakui dia perlu mencorak taktikal sesuai berbanding dua aksi awal Piala Suzuki AFF apabila bertandang ke Hanoi untuk aksi ketiga Kumpulan A menentang Vietnam, Jumaat ini.

Ini adalah kali pertama Cheng Hoe mengendalikan skuad senior negara berdepan Vietnam di pentas Piala AFF.

Namun, pengalaman sebelum ini sebagai penolong jurulatih kebangsaan membolehkan Cheng Hoe cukup arif dengan kebolehan Vietnam di laman sendiri dan ia pasti sengit apabila berdepan Harimau Malaya.

"Seperti yang semua tahu, Vietnam adalah pilihan dalam Kumpulan A dan jelas sekali kami memerlukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama serta corak permainan.

"Kami juga tidak boleh ke sana hanya untuk beraksi selama 90 minit secara bertahan. Vietnam sangat bagus dalam setiap hantaran, jadi kami perlu tampil menyerang," ujar Cheng Hoe.

Edisi Piala AFF 2016 menyaksikan Vietnam meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas skuad negara di Yangon.

Tetapi dalam edisi 2014, barisan negara kendalian Dollah Salleh merakam kemenangan 4-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Hanoi dan mara ke final dengan agregat 5-3.