Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mahukan anak buahnya mengambil peluang keemasan daripada kekalahan Pahang kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi dengan mengalahkan Melaka United untuk kembali menduduki takhta dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam ini.

Beliau juga berkata pemain Helang Merah sudah melupakan kekecewaan daripada keputusan seri 1-1 dengan Selangor dan kini memberi fokus sepenuhnya untuk memungut mata penuh di gelanggang sendiri.

“Peluang terbaik untuk kami kembali ke puncak Liga Super apabila Pahang tewas kepada JDT semalam. Harap semua pemain lebih fokus untuk memenangi perlawanan menentang Melaka United, terutama beraksi di depan penyokong sendiri.

“Pemain juga sudah melupakan isu gol penalti kontroversi pemain Selangor dan kini fokus sepenuhnya untuk memberikan aksi lebih baik bagi memungut tiga mata penuh,” katanya.

Cheng Hoe juga mengharapkan pemain simpanan yang bakal diturunkan malam ini terus menunjukkan aksi terbaik di sebalik kecederaan yang melanda tonggak utama.

“Kami masih kehilangan khidmat pemain tengah kreatif, Baddrol Baktiar (akibat hamstring), Farhan Roslan dan Fakri Saarani (belum cergas sepenuhnya) dan Rizal Ghazali yang terpaksa direhatkan akibat penggantungan kerana menenerima tiga kad kuning.

“Saya harap pemain yang bakal diturunkan mengisi kekosongan tonggak utama supaya bermain bermati-matian untuk mencari keputusan positif dan tidak menghampakan ribuan penonton yang datang,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan skuad Melaka United musim ini, Cheng Hoe tanpa berselindung menyifatkan adunan pemain tempatan dan import yang baik membolehkan skuad bimbingan Eric Williams menjadi pencabar utama Liga Super.

“Kami hormati kekuatan skuad Melaka United kerana memiliki penjaring terbanyak Liga Perdana musim lepas, Ilija Spasojevic, dan (bekas pemain JDT), Amri Yahyah.

"Selain itu, pemain muda mereka juga semakin serasi membentuk gandingan mantap bersama pemain import yang memudahkan Williams menyusun strategi permainan,” katanya.