Cheng Hoe mahu elak mimpi ngeri

Oleh Staff Writer 21 Mac 2018 206
Cheng Hoe mahu elak mimpi ngeri
Tan Cheng Hoe tidak mahu tugasan sulungnya selaku ketua jurulatih Harimau Malaya menjadi igauan ngeri seandainya gagal menewaskan Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Cheng Hoe sedar beban menggunung yang sedang dipikulnya kerana jika dilihat pada rekod di atas kertas, skuad negara sepatutnya tiada masalah terhadap lawan yang berada di kedudukan ranking 189 dunia.

Biarpun hanya mempunyai masa selama empat hari untuk mengumpulkan semua pemain bersama, bekas pengendali Kedah itu berharap tugasan pertamanya selaku ketua jurulatih akan berjalan sempurna.

“Kami tidak boleh meletakkan diri dalam keadaan tertekan. Saya harap pemain-pemain menganggap aksi pada esok sebagai satu cabaran buat mereka dan permainan sebagai satu pasukan mampu mendapatkan keputusan positif,” kata Cheng Hoe ketika sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Ketua pasukan, Safiq Rahim, optimis kehadiran dua pemain kacukan, Corbin Ong dan Natxo Insa mampu menyuntik elemen kesegaran dalam skuad negara.

Pengalaman bermain dalam liga Eropah selama beberapa musim diharap boleh membuatkannya mengemudi pemain lain beraksi di peringkat antarabangsa.

"Pengalaman yang dimiliki amat diperlukan untuk membantu skuad negara. 

"Seperti yang dikatakan oleh ketua jurulatih, kerjasama dalam pasukan serta usaha keras dan semangat, kejayaan boleh diraih," tambah Safiq.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen