Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, lega selepas tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang hadir melapor diri hari ini, namun tidak mahu mengulas panjang ketiadaan kelibat penolong jurulatih, Aminuddin Hussin, pada hari kedua sesi latihan skuad kebangsaan.

Memasuki hari kedua sesi latihan skuad kebangsaan, kelibat Aminuddin tidak kelihatan dan difahamkan pengendali yang pernah mencungkil bakat di peringkat akar umbi itu tidak akan bersama skuad kebangsaan ekoran kontraknya tidak disambung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, FAM memiliki perancangan tersendiri untuk Aminuddin dan perkembangan itu akan diumumkan kemudian bagi memastikan kudrat dan ilmu yang dimiliki jurulatih itu dapat diteruskan bersama kem kebangsaan.

Dalam masa sama, Cheng Hoe tidak menafikan berasa lega melihat tiga pemain, iaitu Hazwan Bakri, Syazwan Andik Ishak dan Matthew Davies telah menyertai kem latihan menjelang saingan Piala Airmarine 2019.

"Mereka datang dengan satu tujuan, untuk mempamerkan aksi yang terbaik dalam latihan. Jika diberi peluang, tidak perlu tertekan kerana sebagai jurulatih, saya sentiasa memberi ruang dan galakan untuk pemain," ujar Cheng Hoe.