Cheng Hoe lega raih kemenangan motivasi 

Oleh Staff Writer 10 November 2019 440
Cheng Hoe lega raih kemenangan motivasi 
Pengendali negara, Tan Cheng Hoe, menyifatkan kejayaan menundukkan Tajikistan 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi sebagai satu kemenangan motivasi menjelang saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu adalah aksi pemanas badan buat Harimau Malaya sebelum bertemu Thailand (Khamis ini) dan Indonesia (19 November) dalam Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Memburu kemenangan moral bagi menghadapi ujian sebenar, skuad negara juga dalam usaha membentuk barisan ampuh menerusi kombinasi berbeza.

Misi itu berjaya direalisasikan apabila anak buah pengendali berusia 51 tahun itu mengetepikan tentangan sengit lawan sebelum memastikan kemenangan dengan pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia, Safawi Rasid, yang bertindak sebagai pemain gantian, muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan.

"Ini satu kemenangan motivasi untuk pasukan negara. 

"Tajikistan bukan calang-calang lawan bagi pasukan negara dan secara keseluruhannya, ada pemain yang masih mengalami keletihan sehingga saya perlu membuat pertukaran pemain," katanya selepas perlawanan. 

Kemenangan skuad negara juga hadir selepas lawan di ranking ke-116 dunia itu kehilangan penjaga gol utama, Rustam Yatimov, kerana dilayangkan kad merah gara-gara menampan bola dengan tangan di luar kotak penalti.

Pengendalinya, Usmon Toshev, tampak tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan, terutama membabitkan insiden layangan kad merah tersebut.

"Kad merah itu jelas menjejaskan permainan sehingga kami terpaksa bermain dengan 10 orang dan saya berasakan beberapa keputusan pengadil malam ini kurang tepat.

"Jadi memang ia menjadi titik tolak kekalahan kami di tangan Malaysia," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen