Cheng Hoe kembalikan keyakinan Harimau Malaya -- Syafiq

Oleh Staff Writer 2 April 2018 5410
Cheng Hoe kembalikan keyakinan Harimau Malaya -- Syafiq
Penyerang negara, Muhammad Syafiq Ahmad, menyifatkan jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, berjaya mengembalikan keyakinan pemain dalam mengharungi cabaran di pentas antarabangsa sebelum melakar kemenangan 7-0 ke atas Bhutan dalam aksi persahabatan di Stadium Bukit Jalil, semalam.

Selain kapten pasukan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, yang cemerlang dengan empat gol dalam perlawanan itu, Shafiq turut meledak satu gol walaupun masuk sebagai pemain gantian.

Ia adalah jaringan kedua Shafiq untuk skuad senior negara selepas menyudahkan gol ketika tewas 2-1 kepada Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia di Beirut, Selasa lalu.

Shafiq juga mengakui kepercayaan Cheng Hoe terhadap pemain turut memberikan kesan positif dalam pasukan selain pendekatan taktikalnya.

"Keyakinan timbul apabila jurulatih sendiri yang percaya kepada pemain yang ada.

"Jadi, bila jurulatih memberi keyakinan, pemain tidak berasa tertekan dan menikmati perlawanan bola sepak," ujarnya.

Nada sama turut dilontarkan Zaquan.

Baginya, setiap pemain dalam pasukan negara kini satu hati dalam memastikan kejayaan buat Harimau Malaya.

"Bagi saya, dalam skuad kebangsaan tiada istilah pemain Kuala Lumpur, pemain Selangor atau dari mana-mana. Kami bermain dengan satu lencana, iaitu Malaysia. 

"Tidak kisah siapa jaringkan gol, sama ada dari Kuala Lumpur atau mana-mana pasukan sekalipun, yang penting Malaysia menang," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen