"Sepatutnya lebih daripada satu gol dalam 20 minit pertama," kata ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, selepas pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam berakhir dengan kekalahan 1-2.

Perasaan sugul pengendali itu tidak mampu dibendung lagi dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Ia susulan skuad negara memberikan harapan yang cukup tinggi untuk melakar kejutan ke atas UAE menerusi jaringan pada 34 saat pertama oleh Syafiq Ahmad, namun ia mudah dirobohkan oleh bintang UAE, Ali Ahmed Mabkhout, pada minit ke-43 dan 75.

Ia bermakna arahannya untuk mencetak lebih daripada satu gol dalam 20 minit pertama gagal dilaksanakan skuad negara.

"Sudah pasti semua tahu bahawa kami sepatutnya menjaringkan lebih gol dalam 20 minit pertama.

"Ia disebabkan oleh kualiti pemain dan saya sememangnya akan mengkaji kembali dan berusaha keras untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Dari sudut berbeza, ketua jurulatih UAE, Bert van Marwijk, hanya menunggu keletihan skuad negara sebelum mengubah pendekatan drastik.

Pada hemat pengendali berpengalaman itu, Malaysia sudah melewati aksi yang memenatkan dengan Indonesia dan pasukannya akan berkelebihan pada penghujung saingan.

"Pada awal babak kedua, kami memaparkan aksi terbaik.

"Saya dapat lihat (pemain) Malaysia sudah keletihan disebabkan perlawanan terdahulu dan pada ketika itulah kami perlu menjaringkan gol.

"Kami memperoleh tiga hingga empat peluang dalam 15 minit pertama itu," katanya.