Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, gusar dengan dua anak buahnya, Nicholas Ryan Swirad dan Kenny Pallraj, kerana belum sempat pulih sepenuhnya menjelang Kejohanan Piala Airmarine 2019 pada 20 dan 23 Mac ini ekoran kecederaan.

Khidmat Nicholas di posisi pertahanan dan Kenny sebagai pemain tengah diperlukan dalam dua perlawanan kejohanan itu apabila bakal berhadapan dengan Singapura dan Oman atau Afghanistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain berasal dari England itu mengalami kecederaan pada hari kedua sesi latihan pusat manakala tonggak Perak, Kenny, pula dilanda kecederaan ketika menjalani sesi latihan pada hari keempat.

"Swirad dan Kenny tidak mengikuti sesi latihan hari ini ekoran kecederaan.

"Saya berharap mereka akan pulih segera untuk tampil beraksi berdepan Singapura," ujar jurulatih pasukan kebangsaan itu ketika ditemui di Bukit Jalil, petang tadi.

Cheng Hoe enggan mengambil risiko dengan meletakkan dua pemain itu dalam kesebelasan utama, sebaliknya perlu terlebih dahulu mendapatkan pandangan doktor mengenai kecederaan mereka sebelum membuat keputusan.

Dua hari menjelang Piala Airmarine, Cheng Hoe mengakui sukar untuk menamakan kesebelasan terbaik berikutan mempunyai 25 pemain yang berkualiti.

"Jika mereka tidak dapat menyertai pasukan kali ini, maka kami akan memberikan peluang yang sama kepada mana-mana pemain lain untuk membarisi skuad negara."