Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, tidak mahu fokus pemainnya terganggu dengan insiden pergaduhan besar membabitkan skuad B-23 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu untuk misi membuat kejutan dalam aksi kedua Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa ini.

Meskipun pernah diaibkan 10-0 di tangan UAE pada 2015, skuad bola sepak negara juga pernah melewati detik manis berdepan pasukan handalan Asia itu.

Ia membabitkan aksi di peringkat umur apabila skuad B-23 negara membenam lawan itu 2-0 dalam satu aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Ogos tahun lalu.

Ketika kejayaan itu tetap dianggap sebagai motivasi terbaik untuk ujian getir Selasa ini, Harimau Malaya juga perlu berwaspada dengan misi balas dendam lawan.

"Kami tidak boleh biarkan faktor luaran mengganggu fikiran. Ia boleh menjejaskan prestasi pasukan. Kami tidak perlu fikir soal balas dendam, sebaliknya fokus untuk mendapatkan persembahan terbaik," kata Cheng Hoe.

Dalam pertemuan skuad B-23 sebelum ini, insiden pergaduhan mencemari kemenangan 2-0 Malaysia susulan terdapat pemain UAE yang tidak berpuas hati dengan pemain kebangsaan sebelum ia merebak ke seluruh pemain, termasuk di bangku simpanan.

Insiden itu juga masih segar dalam ingatan penyerang negara, Safawi Rasid, yang menjadi wira skuad muda Malaysia selain Akhyar Rashid setelah masing-masing berjaya meledak jaringan kemenangan.

"Sekarang, kami sudah meningkat daripada segi permainan hantaran pendek, jadi tidak mustahil kalau kami cuba untuk dapatkan keputusan positif. Setakat ini, masih belum rezeki untuk jaringkan gol tetapi saya tetap memberikan sokongan kepada rakan sepasukan," ujar Safawi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mempunyai firasat bahawa skuad Harimau Malaya akan membuat kejutan ke atas UAE dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

"Sudah tentu kami perlu sokongan padu peminat negara berbekalkan suntikan kemenangan ke atas Indonesia. Saya fikir pasukan akan turun dengan persembahan terbaik dan tidak mustahil Malaysia bakal melakar kejutan," katanya.

Hamidin meninjau sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium KLFA, Cheras hari ini bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, yang juga pengurus skuad negara sambil memberi kata-kata semangat kepada barisan pemain negara sebagai azimat terakhir sebelum berdepan UAE.

Dia tidak mahu pemain negara gentar dengan lawan walaupun lawan diakui mempunyai reputasi hebat selaku pasukan ranking ke-65 dunia.

"Namun, kami pernah berdepan Arab Saudi dan apabila menjaringkan gol ketika itu, lawan tidak berani untuk mencipta gerakan. Komitmen dituntut daripada semua posisi untuk fokus sepanjang 90 minit."

Dalam masa sama, Hamidin menegaskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) wajar menggantung Stadium Gelora Bung Karno susulan kekecohan di gelanggang itu, Khamis lalu.

Dalam insiden itu, penyokong Indonesia bertindak di luar kawalan apabila menceroboh kawasan padang, membaling botol dan melempar suar kepada ratusan penyokong negara yang hadir ke stadium.

Malah, kekecohan yang timbul menyebabkan skuad negara kemudiannya terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda pulang ke hotel penginapan selepas perlawanan tamat.

Beliau juga tidak menafikan aksi di gelanggang berkecuali membabitkan Indonesia dan Malaysia dalam apa jua peringkat umur sebagai jalan penyelesaian terakhir buat kedua-dua pasukan selepas ini.

"Kami telah menyelesaikan mesyuarat dan maklumat terperinci kami tidak boleh dedahkan. Namun, perlu diingat, apa yang berlaku adalah di luar prosedur yang dibenarkan FIFA.

"Penyokong masuk ke dalam padang, nyanyian tidak elok buat penyokong Malaysia, menaiki Barracuda serta perlawanan tertangguh. Kesemuanya memang salah, jadi sudah jelas. Apa pun, kami serahkan kepada FIFA," tambah Hamidin.