"Disiplin dan tahu cara permainan pemain negara," itu syarat yang diberikan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, ketika usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM ) mahu mendapatkan pemain naturalisasi yang baru selepas Mohamadou Sumareh.

Kerenah pemain naturalisasi yang ada masalah disiplin dan besar kepala awal-awal lagi ditolak Cheng Hoe.

Pengendali kelahiran Kedah itu mengharapkan calon pemain naturalisasi faham dengan cara permainan dan mengenali pemain negara memandangkan kemunculan mereka perlu memberi impak segera.

"Saya mahu memastikan pemain naturalisasi memiliki sikap yang profesional dan berdisiplin kerana mereka adalah contoh kepada pemain-pemain tempatan," katanya.

Bagaimanapun, Cheng Hoe kekal dengan pendirian kelibat pemain naturalisasi hanya akan membantu skuad negara dalam masa singkat.

Selebihnya kudrat dan bakat pemain tempatan perlu diutamakan.

FAM bakal membentangkan kertas kerja kepada pihak terlibat untuk pengambilan pemain naturalisasi seterusnya penghujung bulan ini.

Jika tiada masalah, Malaysia mungkin akan mendapat seorang atau dua lagi tambahan pemain naturalisasi menjelang saingan play-off kelayakan Piala Dunia, Jun ini.

"Saya berasakan kami memiliki bakat untuk masa akan datang. Untuk jangka masa pendek, pemain naturalisasi adalah jalan terbaik dan bagi jangka masa panjang, kami perlu membentuk barisan tempatan untuk lebih berkualiti," tambah jurulatih itu.