"Saya boleh kawal mereka," kata ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, merujuk kepada dua pemain naturalisasi yang hampir pasti menyarung jersi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Ramai mula mempertikaikan mengapa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk pening kepala apabila kekal menamakan Krasniqi sebagai salah satu calon pemain naturalisasi.

Ia berdasarkan keperibadian pemain tengah itu yang dikatakan keras kepala dan mempunyai masalah disiplin ketika menyarung jersi Kedah dan Melaka sebelum ini.

Bagaimanapun, Cheng Hoe menganggap ia bukan masalah besar kerana pemain kelahiran Kosovo itu masih boleh dibentuk jika kena dengan cara yang betul.

"Apa yang penting, FAM sudah meminta kerakyatan untuk kedua-dua pemain itu.

"Kita tunggulah bagaimana keputusan tersebut.

"Jika ia positif, saya akan melihat bagaimana untuk mengawal kedua-dua pemain itu," katanya.

Kelibat De Paula turut dipersoalkan memandangkan pemain itu yang sudah berusia 33 tahun.

Pada pengamatan ketua jurulatih berkenaan, pemain "kuda tua" itu tetap ada keperluannya dalam skuad negara.

"De Paula daripada segi penyudah dan fizikal, dia mampu menyelesaikan masalah kami di bahagian serangan.

"Liridon pula mempunyai karakter yang baik di atas padang.

"Dia mempunyai sikap tidak mengaku kalah dan mempunyai kerajinan yang tinggi," tambahnya.