Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mengakui lega dengan keputusan seri membabitkan pertemuan Myanmar menentang Vietnam di Yangon semalam, sekali gus memberi petanda positif buat Harimau Malaya.

Keputusan seri tanpa jaringan di antara Myanmar dan Vietnam menyaksikan mereka berkongsi tujuh mata sementara Malaysia di tangga ketiga dengan ketinggalan satu mata sambil berbaki sau perlawanan.

Melihat ia sebagai peluang terbaik Malaysia apabila berdepan Myanmar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, Cheng Hoe semakin optimis untuk Harimau Malaya menempatkan diri ke pusingan separuh akhir.

"Saya berasakan barisan pemain kelihatan positif selepas mengetahui hanya kemenangan tanpa jaringan besar mampu memastikan Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF," kata Cheng Hoe.

"Bagaimanapun, kami perlu kekal berwaspada dengan ancaman yang mampu ditampilkan oleh Myanmar kerana mereka memiliki beberapa pemain berkualiti.

"Barisan pertahanan perlu memberikan persembahan terbaik bagi menghalang asakan yang bakal ditampilkan lawan di Bukit Jalil nanti."