Antonio Conte mengakui Chelsea perlu menghasilkan permainan sempurna jika berhasrat mengatasi gergasi Sepanyol, Barcelona, dalam pertembungan pertama Liga Juara-Juara (UCL), Rabu ini.

Juara bertahan Liga Perdana, Chelsea, bakal menyambut rombongan pendahulu LaLiga itu serta Lionel Messi ke Stamford Bridge untuk pertemuan pertama, Rabu ini.

Ia merupakan musim yang sukar bagi Conte dan Chelsea di tengah-tengah kesamaran masa depan pengurus Itali itu berikutan prestasi hambar dalam liga biarpun telah mengatasi kekecewaan menerusi kemenangan ke atas West Brom dan Hull City.

Bagaimanapun, Conte menegaskan Chelsea bakal menghadapi cabaran besar menentang Barca yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Eibar awal pagi tadi, lalu menyaksikan barisan Ernesto Valverde itu dengan kelebihan 10 mata.

"Anda tahu mereka adalah salah sebuah pasukan terbaik di dunia -- mungkin mereka merupakan pilihan untuk memenangi pertandingan ini," kata Conte. "Dari sudut lain, kami harus berasa teruja kerana kami mempunyai peluang yang hebat untuk beraksi dalam perlawanan besar dengan menghadapi skuad yang sangat mantap bagi membuktikan kemampuan kami.

"Kita sedang bercakap mengenai salah sebuah pasukan terbaik di dunia. Kami perlu cuba, saya ulangi, menghasilkan permainan yang sempurna, permainan sempurna dengan cuba membuat keputusan terbaik.

"Kami menghadapi lawan yang berbeza, mereka mempunyai ciri-ciri kawalan bola yang hebat tetapi mereka juga mempunyai kelemahan ketika tanpa bola, maka kami harus cuba mengeksploitasinya," katanya.

Juara Ballon d'Or sebanyak lima kali, Messi, telah menyumbat 20 gol LaLiga musim ini.

Bagaimanapun, Conte percaya situasi akan berbahaya buat Chelsea jika hanya memberi tumpuan merantai Messi -- yang tidak pernah menembusi kubu The Blues -- semata-mata.

"Saya berharap dapat meneruskan tradisi ini (menghalang Messi menyumbat gol ke atas Chelsea) tetapi saya ulangi, kita bercakap tentang pemain yang hebat dan kami amat menghormatinya," tambah Conte.

"Tetapi pada masa yang sama, kami harus bersemangat untuk menghadapi perlawanan dan cabaran ini.

"Kami bercakap tentang salah seorang pemain terbaik dunia, namun kami perlu bekerjasama, bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan bukan hanya memberi tumpuan kepada seorang pemain sahaja. Messi boleh menjadi sangat berbahaya."