Pemain sayap Chelsea, Pedro, menegaskan Chelsea akan melalui musim hebat di bawah kendalian Maurizio Sarri sekiranya The Blues menewaskan Arsenal di pentas final Liga Europa.

Musim pertama Sarri di Stamford Bridge menyaksikan Chelsea menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan mara ke final Liga Europa serta Piala EFL sebelum tewas di tangan Manchester City menerusi penentuan sepakan penalti.

Walaupun melangkah ke dua final dan kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah, taktikal bekas pengendali Napoli itu dikritik oleh sesetengah peminat Chelsea dan wujud laporan dia bakal kembali ke Itali untuk menguruskan Juventus menggantikan Massimiliano Allegri yang akan meninggalkan juara Serie A itu.

Namun, Pedro yang tidak meragui bahawa musim 2018-19 harus dianggap berjaya jika mereka muncul juara di Baku, Rabu depan, memberitahu wartawan: "Kami dalam Liga Juara-Juara, final Piala EFL dan kini satu lagi final.

"Jika kami menjulang trofi Eropah, ia akan menjadi musim hebat buat kami."

Pedro menjangkakan cabaran sukar bakal diberikan Arsenal tatkala kemenangan bakal mengesahkan The Gunners trofi serta slot ke Liga Juara-Juara selepas mereka terlepas kelompok empat terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Bintang Sepanyol itu juga berpendapat penampilan kesemua kelab Inggeris dalam final Liga Europa dan Liga Juara-Juara mencerminkan kehebatan pasukan daripada liga tertinggi England itu.

"Saya rasa ia memberi motivasi sama kepada kedua-dua pasukan," katanya.

"Buat mereka, ia peluang terbaik untuk mara ke Liga Juara-Juara tetapi kami mahu menjulang trofi.

"Ia bagus untuk pasukan Inggeris. Sangat bagus kerana setiap minggu anda menyaksikan kesukaran dan persaingan sengit dalam liga.

"Pesanan sangat jelas bahawa Liga Perdana Inggeris adalah saingan terkuat dan paling kompetitif ketika ini, itu sudah pasti.

"Apa yang penting adalah mempersiapkan diri dalam minggu ini, jadi apabila bertandang ke Baku, kami sudah bersedia, fokus untuk perlawanan dan memenangi trofi.

"Mungkin ia lebih terbuka kerana tekanan yang diberikan Arsenal agak tinggi, menampilkan aksi bola sepak yang menarik tetapi perancangan dan corak kami juga sama. Saya rasa ia bakal menjadi aksi yang terbuka."