Santi Cazorla mengakui sukar untuk menerima kenyataan apabila dipanggil beraksi bersama Sepanyol selepas mengalami kecederaan yang hampir memendekkan kariernya.

Cazorla merupakan kemasukan mengejutkan dalam skuad Sepanyol untuk saingan kelayakan Euro 2020 berdepan Kepulauan Faroe dan Sweden, menyaksikan bekas perancang Arsenal itu kembali ke skuad kebangsaan buat kali pertama sejak 2015.

Cazorla, yang dibelenggu kecederaan pada hari-hari terakhir bersama Arsenal, menikmati kebangkitan bersama Villarreal musim ini selepas menjaringkan tujuh gol dalam 45 penampilan dalam semua kejohanan.

Prestasinya di peringkat kelab berjaya menarik perhatian pengendali La Roja, Luis Enrique, untuk mendapatkan khidmatnya, dengan pemain itu mengakui perkara yang berlaku adalah sesuatu yang sukar untuk dibayangkan.

"Anda sentiasa mengimpikan satu hari akan kembali ke skuad kebangsaan tetapi selepas dua tahun diketepikan kerana kecederaan, sukar untuk membayangkannya," kata Cazorla.

"Saya sangat gembira mengenainya. Sukar untuk saya menghadam perkhabaran ini.

"Saya merancang untuk memberikan yang terbaik setiap kali turun beraksi.

"Jika seseorang memberitahu saya bahawa saya akan kembali beraksi untuk skuad kebangsaan, saya tidak akan percayakan mereka. Saya telah mengalami kecederaan selama dua tahun dan sesuatu yang sukar untuk kembali ke tahap terbaik.

"Saya sudah mencecah 34 tahun dan menyedari sesuatu yang rumit untuk kembali ke skuad kebangsaan."

Cazorla menjaringkan gol dalam penampilan terakhir bersama Sepanyol ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas England pada November 2015.