Cavani perlu biasakan diri dengan saingan Icardi -- Tuchel

Oleh Staff Writer 10 November 2019 312
Cavani perlu biasakan diri dengan saingan Icardi -- Tuchel
BREST 1 PSG 2

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, berkata Edinson Cavani perlu belajar untuk menangani persaingan dengan Mauro Icardi dalam merebut posisi penyerang utama pasukan itu.


Cavani melakukan penampilan pertama dalam kesebelasan permulaan PSG sejak 25 Ogos lalu, namun dia gagal memberikan impak ketika pasukannya menewaskan Brest 2-1 di Stadium Francis-Le Ble awal pagi tadi.

Pada minit ke-80, dia digantikan oleh Icardi, yang hanya memerlukan lima minit untuk meledakkan jaringan kemenangan pasukannya selepas Samuel Grandsir memadamkan gol pembukaan Angel Di Maria dalam babak pertama.

Tuchel mengakui Cavani kekurangan rentak ketika menentang Brest dan mencabar pemain kebangsaan Uruguay itu untuk merebut tempat di posisi serangan.

"Bukan mudah untuk seorang penyerang menghadapi lawan seperti ini di sini," katanya kepada Canal+.

"Dia (Cavani) kekurangan rentak. Dia perlu menguruskan persaingan ini.

"Tugasnya memang seperti itu.

"Dia tiada pilihan selain menerima situasi itu dan bekerja keras.  

"Adakalanya anda berada di fasa di mana anda berasa baik.

"Terdapat sedikit tuah dan semuanya berjalan lancar.

"Mauro berada di fasa itu," katanya.

PSG tidak berada di prestasi terbaik tetapi ia sudah mencukupi untuk mereka kembali ke landasan kemenangan di peringkat domestik selepas ditewaskan Dijon dalam perlawanan terdahulu.

Tuchel, yang melakukan enam perubahan berbanding skuad yang menewaskan Club Brugge dalam Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu ini, memuji pemainnya selepas menjadi pasukan pertama menewaskan Brest di laman mereka musim ini.

"Saya benar-benar menggemari kemenangan ini.

"Terdapat banyak perubahan dilakukan, termasuk menggunakan pemain yang kekurangan rentak dan keyakinan seperti Layvin (Kurzawa), Edinson and (Julian) Draxler.

"Perubahan itu diperlukan untuk kekal segar.

"Ia tidak mudah pada awalnya dan segala-galanya tidak memihak kami.

"Kami berpeluang untuk membuka langkah tetapi kami melakukan kesilapan teknikal.

"Babak kedua lebih mudah untuk dikawal tetapi kami memberikan pihak lawan peluang untuk menjaringkan gol.

"Tindak balas yang baik ditunjukkan selepas itu.

"Saya rasakan yang kami benar-benar mempercayainya.

"Kami layak untuk menang.

"Kami adalah pasukan pertama mencatatkan kemenangan di sini!" tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen