Edinson Cavani menegaskan dia mahu terus beraksi untuk Paris Saint-Germain (PSG).

Ia merupakan pengakhiran yang sukar buat PSG tetapi skuad kendalian Thomas Tuchel itu meraih kemenangan 4-0 ke atas Dijon dalam aksi terakhir di laman sendiri, semalam.

Cavani menjaringkan gol kedua selepas Angel Di Maria meletakkan juara Ligue 1 itu di hadapan, sekali gus meledak gol yang ke-23 musim ini.

Kontrak pemain berusia 32 tahun itu bakal tamat pada penghujung musim depan dan dia telah dikaitkan bakal meninggalkan Parc des Princes, dengan bekas kelab, Napoli, berpotensi menjadi destinasinya.

Cavani, bagaimanapun, menjelaskan keinginannya untuk terus kekal di Paris hingga kontraknya berakhir.

"Ia cukup indah apabila bergelar juara Ligue 1, ia akan sentiasa kekal dalam kenangan saya," kata Cavani.

"Penyokong sentiasa bersama kami. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka. Masa depan saya? Saya lebih mengutamakan dan menghormati kontrak saya bersama pasukan ini.

"Saya berharap dapat mengakhiri kontrak saya bersama PSG.

"Kembali ke Naples? Tidak, saya tidak mengatakan apa-apa. Sememangnya, saya akan bersama PSG tahun depan."

Cavani, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG, telah memenangi lima gelaran Ligue 1, lima Piala Liga dan empat Piala Perancis.