Penjaga gol Porto, Iker Casillas, tidak bercadang untuk menamatkan kariernya selepas pulih daripada serangan jantung yang dialami bulan ini.

Akhbar Portugis, O Jogo, melaporkan semalam bahawa legenda Real Madrid itu telah mengambil keputusan untuk bersara, dua minggu selepas mengalami serangan jantung akut ketika sesi latihan bersama kelab Primeira Liga itu.

Tetapi Casillas, yang menjalani pembedahan kecemasan lima hari kemudian, berkata dia akan menentukan persaraannya apabila tiba masanya.

"Bersara? Masa untuk saya bersara akan tiba. Saya akan umumkannya apabila saya bersedia.

"Buat masa ini, bertenang. Saya memiliki temu janji dengan Dr Filipe Macedo semalam dan segalanya berjalan lancar. Itu berita yang mahu saya kongsikan."

Casillas telah bermain lebih daripada 700 perlawanan untuk Real sebelum menyertai Porto secara percuma pada 2015.