Fabio Capello memberikan sokongannya terhadap pemain pertahanan, Matthijs de Ligt, untuk bangkit daripada pemulaan goyah dan membuktikan kemampuannya di Juventus.

Juventus menandatangani De Ligt dari Ajax dengan yuran perpindahan sebanyak EURO75 juta (RM344 juta) Julai lalu.

Tidak diturunkan ketika berdepan Parma dalam aksi pertama, pemain kebangsaan Belanda itu merupakan pilihan utama sejak Juve meraih kemenangan 4-3 ke atas Napoli, seri
tanpa jaringan dengan Fiorentina dan seri 2-2 di Atletico Madrid.

De Ligt telah dihujani kritikan atas persembahannya setakat ini, terutama sekali ketika aksi tujuh gol dengan Napoli, tetapi Capello menegaskan pemain muda Belanda itu akan kembali mendapat sentuhan terbaiknya.



"Dia seorang muda dan perlu diberikan masa untuk mendapatkan keyakinan dalam suasana dan rakan sepasukan yang baru," kata Capello kepada Tuttosport. "Kualitinya sesuatu yang tidak perlu disoal. Dia merupakan seorang pertahanan yang terbaik."

Juve kelihatan hilang arah ketika seri tanpa jaringan dengan Fiorentina, namun bangkit ketika berdepan Atletico, dengan Juan Cuadrado dan Blaise Matuidi membenarkan mereka mendahului dua jaringan di Madrid.

Atleti bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol yang terhasil menerusi situasi bola mati tetapi Capello percaya bekas kelab kendaliannya itu menampilkan semangat yang berbeza dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

"Saya melihat perwatakan terbaik ditampilkan beraksi di tempat yang sukar seperti Wanda Metropolitano," katanya.

"Mereka telah menampilkan permainan yang lebih cemerlang berbanding di Florence -- mereka berdepan Atletico tanpa sebarang perasaan gementar.

"Juventus bukan sahaja bermain untuk seri, mereka hampir mendapatkan jaringan kemenangan.

"Jika mereka mengekalkan cara permainan yang sama, tidak mustahil mereka akan ke final musim ini."

-