Legenda bola sepak Itali, Fabio Cannavaro, akan menggantikan Marcello Lippi sebagai ketua jurulatih China, seperti yang diumumkan Persatuan Bolasepak China (CFA) semalam.

Cannavaro, 45, akan meneruskan tugasnya sebagai jurulatih pasukan gergasi Liga Super China (CSL), Guangzhou Evergrande Taobao, sebelum menyertai kem kebangsaan China.

Lippi meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih China selepas pasukan itu tersingkir daripada Piala Asia, Januari lalu, namun kekal sebagai penasihat pasukan itu.

"Pihak persatuan telah membuat keputusan dengan teliti hasil penyelidikan komprehensif terhadap pengalaman, gaya teknikal, taktikal, penyesuaiannya dengan pemain China dan faktor lain," kata CFA.

Cannavaro akan berdepan tugasan pertamanya dengan menentang Thailand dalam Piala China, Khamis depan.

Bekas kapten Itali itu, yang kembali menyertai Evergrande pada 2017 selepas dipecat dua tahun sebelumnya, telah meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan pertama CSL musim ini.