Emre Can dijangka kembali menyertai skuad menjelang pertemuan final Liga Juara-Juara Eropah di antara Liverpool dan Real Madrid, esok.

Pengurus pasukan, Jurgen Klopp, sebelum ini menjelaskan kecederaan belakang yang dialami pemain dari Jerman itu sewaktu bertemu Watford pada Mac lalu, bakal menyaksikannya terpaksa disisihkan sepanjang musim.

Bagaimanapun, pemain tengah yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus itu telah kembali menyertai sesi latihan pada Isnin lalu dan Klopp menyifatkannya sebagai salah satu pilihan tambah untuk aksi di Kiev.

Dalam masa sama, James Milner juga disahkan telah bebas daripada masalah kecederaan otot.

"Milner jelas sudah cergas dan Can memberikan satu kejutan," kata Klopp.

"Can memberitahu saya dia akan kembali, mencuba beberapa perkara dan kami akan memberitahu orang ramai. Kami menjangkakannya menjadi sukar tetapi dia kembali dengan penuh keyakinan.

"Kini, dia telah berlatih secara normal. Can adalah salah satu pilihan yang dimiliki Liverpool," tambahnya.

Liverpool bakal berentap dengan Los Blancos untuk menghalang skuad kendalian Zinedine Zidane itu daripada meraih trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut, esok.

Kali terakhir The Reds memenangi kejuaraan itu adalah pada 2005, setelah menundukkan AC Milan 3-0 menerusi tendangan penalti di Istanbul.