Carlos Machena percaya bekas rakan sepasukannya di Sepanyol dan bintang Real Madrid, Sergio Ramos, akan gembira dengan peluang untuk mewakili negaranya dalam Sukan Olimpik 2020.

Ramos, yang muncul pemain Sepanyol dengan penampilan terbanyak bulan lalu, telah menjulang trofi Piala Dunia dan Kejohanan Eropah buat negaranya tatkala pertahanan itu turut memiliki empat pingat Liga Juara-Juara Eropah bersama Real.

Namun, dia masih belum pernah tampil di pentas Olimpik, di mana pasukan bawah 23 tahun itu dibenarkan membariskan tiga pemain melebihi had umur.

Pengendali skuad Olimpik Sepanyol, Luis de la Fuente, yang mengemudi pasukannya layak ke saingan tahun depan, mendedahkan dia berbangga jika dapat melatih Ramos, yang pernah bercakap mengenai kemungkinan akan melakukan penampilan.

"Saya bertuah kerana mengenali Ramos dalam tempoh yang lama," kata Machena kepada Omnisport.

"Kami datang dari tempat sama sejak kecil, berkongsi kawan dan saya amat mengenalinya.

"Sejak kecil, anda boleh lihat perwatakannya seperti seekor haiwan yang sukakan persaingan. Dia tidak pernah puas dan tidak berputus asa. Jelas sekali dia telah mencipta sejarah tetapi masih dahagakannya.

"Jadi, semua cabaran yang ada, dia mahu menjayakannya. Salah satu cabaran itu adalah Sukan Olimpik.

"Saya bukan individu yang boleh membuat keputusan tetapi saya boleh katakan bahawa dia akan berjuang untuk mencipta sejarah, menjadi pemain dengan penampilan terbanyak dan memenangi segala-galanya kerana dia sukakan persaingan."

Sepanyol menggondol pingat emas dalam Sukan Olimpik 1992 dan dua kali meraih perak.

Buat Ramos, dia telah meraih 168 penampilan menjelang tempoh rehat antarabangsa sambil bekas pemain sayap Mesir, Ahmed Hassan, memegang rekod dengan 184.