Skuad Harimau Malaya tidak lagi dibelenggu kebimbangan terhadap mutu padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, apabila Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes, memberi jaminan bahawa stadium berkenaan akan menjadi gelanggang terbaik di Asia.

Kualiti padang di Stadium Nasional sering dipersoalkan ekoran permukaannya yang kurang memuaskan walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

Ia dapat dilihat dalam aksi terakhir skuad negara ketika bertemu Timor Leste, Jun lalu, sekali gus menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

Bagaimanapun, Tony percaya masalah itu tidak akan berulang dan membelenggu skuad kebangsaan apabila stadium itu secara rasminya menjadi "Rumah Harimau Malaya" hari ini.

"Saya fikir kami perlu pastikan yang padang itu tidak digunakan untuk sukan-sukan lain.

"Ia merupakan kesilapan jika ia digunakan sebelum pusingan kelayakan Piala Dunia.

"Jadi, kami sudah melakukan pemeriksaan dan ia memiliki standard yang bagus.

"Namun, kami perlu bekerja dengan lebih teliti agar ia menjadi semakin baik," katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan PSM hari ini menandatangani perjanjian hingga 31 Disember 2020 untuk menjadikan stadium itu sebagai gelanggang skuad negara.

Ia menjadikan semua perlawanan di gelanggang sendiri skuad negara sepanjang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 akan berlangsung di venue berkenaan.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di stadium berkenaan hari ini.

"Saya rasa ini adalah satu lagi lonjakan untuk FAM bekerjasama dengan PSM.

"Dan ini adalah lebih baik dan memberi semangat kepada pasukan kerana kita akan lihat nanti, menjelang perlawanan dengan UAE, akan ada lebih banyak perubahan, bukan hanya untuk pasukan tetapi mungkin juga untuk penyokong," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menyambut baik usaha PSM untuk menjadikan Stadium Nasional sebagai gelanggang terbaik di Asia.

Namun, dia menegaskan anak buahnya tetap perlu bersedia dengan apa jua keadaan dan tidak boleh menjadikan isu padang sebagai alasan untuk tidak mempamerkan aksi terbaik.

"Keutamaan bukan masalah padang kerana saya mahu pemain sentiasa memberikan persembahan terbaik.

"Kalau kita bertandang ke tempat orang dan beraksi di permukaan padang yang tidak cantik, kita tidak boleh menjadikannya sebagai alasan.

"Sebab itu saya tidak mahu ia menjadi isu yang besar," katanya.

Dalam tempoh terdekat, skuad negara akan beraksi dalam dua perlawanan di venue itu, iaitu bertemu Jordan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa 30 Ogos ini dan perlawanan kedua Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 September depan.