Santiago Solari memuji Sergio Ramos dengan ketua pasukan Real Madrid itu akan membuat penampilannya yang ke-600 bersama kelab itu.

Ramos akan mencapai angka itu dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di Ajax, awal pagi esok.

Pertahanan Sepanyol itu mengetuai Madrid untuk meraih tiga gelaran berturut-turut UCL selain meledak 11 gol dalam semua pertandingan musim ini selepas mewarisi tugas menyepak penalti daripada Cristiano Ronaldo.

"Bermain untuk perlawanan ke-600 bersama Real Madrid bukannya mudah," kata Solari dalam sidang akhbar ketika ditanya tentang prestasi Ramos.

"Kelab bersejarah ini sesuai dengan karakternya dan kami berharap dia dapat beraksi lebih banyak lagi bersama Real Madrid."

Timbalan kapten, Marcelo, dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus selepas kehilangan tempatnya kepada pertahanan kiri berusia 22 tahun, Sergio Reguilon.

Marcelo telah memberitahu Esporte Interativo bahawa dia bersedia meninggalkan Madrid jika tidak lagi diperlukan tetapi Solari menafikan wujud perselisihan dengan pemain Brazil itu.

"Marcelo seorang pemain yang hebat -- dia adalah timbalan kapten kami dan lambang kelab ini," tambah Solari.

"Dia sering mendahulukan kelab dan dia berlatih dengan baik sebagaimana pemain lain. Seperti yang saya katakan, dia seorang pemain yang hebat dan kami semua menyukainya. Dia bekerja keras dalam setiap sesi latihan."

Madrid belum tewas dalam tujuh perlawanan manakala Ajax pincang apabila kalah dua daripada tiga perlawanan terakhir mereka, termasuk diaibkan Feyenoord 6-2 dalam aksi Eredivisie.

"Itulah asam garam dalam kerjaya ini. Dalam bola sepak, anda meraih keputusan baik tetapi tidak dalam perlawanan berikutnya. Kemudian apabila anda kalah, ia sangat mengerikan tetapi ketika menang, anda dalam keadaan yang baik," ujar Solari lagi.

"Kami mahu terus bersaing setiap hari -- termasuk keesokan harinya juga. Esok adalah hari yang sangat penting dalam kancah ini dan inilah yang akan menjadi fokus kami. Sebagai pengurus, saya tidak memberikan banyak perhatian kepada perkara selain itu dan pemain juga perlu berada dalam keadaan ini.

"Saya tidak fikir pihak lawan sedang mengharungi tempoh yang tidak baik. Saya tidak setuju, saya fikir Ajax mempunyai musim yang baik.

"Saya telah menyaksikan banyak perlawanan membabitkan mereka dan mereka bermain dengan baik. Ajax membina permainan dengan baik dan mereka memiliki pemain yang hebat.

"Inilah bola sepak. Anda harus menghormati kesemua lawan, begitu juga dengan Ajax.

"Saya harap kami dapat memperagakan persembahan yang serius sebagaimana yang kami lakukan tiga hari lalu, itulah harapan tinggi saya. Bola sepak adalah kerja harian. Kami hanya perlu beri tumpuan kepada aksi esok."