Gianluigi Buffon sedang mempertimbangkan untuk berehat setahun daripada bola sepak selepas menolak tawaran lumayan untuk kekal di Paris Saint-Germain (PSG) buat tahun kedua kerana enggan sekadar memanaskan bangku simpanan.

Legenda Itali itu berpisah dengan juara Ligue 1 berkenaan sejurus berakhirnya kempen sulungnya di Perancis.

Pemain berusia 41 tahun itu dan kelab mencapai kesepakatan untuk tidak meneruskan pilihan melanjutkan kontraknya selama 12 bulan lagi di Parc des Princes meskipun berpeluang berbuat demikian.

Buffon, yang menghabiskan 17 musim mewakili gergasi Serie A, Juventus, telah dikaitkan dengan kepulangan ke bekas kelab, Parma, sementara jaguh Portugal, Porto, dilaporkan mengangkatnya sebagai calon berpotensi untuk mengambil tempat Iker Casillas.

Bagaimanapun, pemenang Piala Dunia 2006 itu lebih cenderung untuk beralih angin sebagai jurulatih atau mungkin menggalas peranan pengarah bola sepak, yang bermakna dia tidak terburu-buru untuk memutuskan langkah seterusnya.

"Lima bulan lalu, PSG memaklumkan kepada saya bahawa saya akan menjadi penjaga gol kedua musim depan," katanya kepada Corriere dello Sport.

"Saya mempunyai banyak masa untuk memikirkannya sehinggalah saya menyimpulkan bahawa langkah itu tidak sesuai untuk saya, jadi saya mengorbankan kontrak lumayan selama setahun.

"Permintaan mereka tidak salah, ia boleh difahami dan merupakan tawaran menarik.

"Bagaimanapun, pada usia 41 tahun, saya mempunyai keperluan fisiologi ini untuk berasakan sensasi. Emosi saya boleh ditukar kepada tenaga, impian dan perasaan menjadi sebahagian daripada sesuatu.

"Hari ini, saya mendapati diri saya dalam situasi seperti musim panas yang lepas. Saya dalam keadaan yang amat tenang, santai kerana segala-galanya masih terbuka dan ia boleh berakhir dalam 12 bulan atau 15 hari (untuk membuat keputusan).

"Saya ada menerima beberapa tawaran tetapi jika saya tidak mempunyai motivasi yang betul (untuk melakukannya), maka bolehlah saya berehat setahun untuk diri sendiri. Menyelami pendidikan selama setahun."