Ejen Gianluigi Buffon menjelaskan buat masa ini potensi penjaga gol itu kembali ke Juventus "sekadar satu idea" tetapi dalam masa yang sama mengakui rundingan sedang berjalan untuk membawa bekas pemain itu kembali ke Turin.

Buffon boleh menyertai mana-mana pasukan secara percuma selepas meninggalkan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), selepas semusim berkhidmat di ibu kota Perancis itu.

Pemain berusia 41 tahun itu beralih angin daripada Juventus ke PSG tetapi Buffon berpeluang untuk kembali ke pangkuan juara Serie A berkenaan yang menyaksikannya menjulang Scudetto sebanyak sembilan kali.

Menjawab laporan bahawa pemain itu sedang berbincang untuk menjadi sandaran kedua selepas Wojciech Szczesny sebelum memainkan peranan sebagai pengarah kelab, Silvano Martina memberitahu SportItalia: "Buat masa ini, ia hanyalah satu cadangan."

Buffon mengharungi kariernya di Juventus selama 17 tahun selepas tiba daripada Parma dengan bayaran rekod dunia €52 juta (RM243.8j) pada 2001.

Legenda Itali itu turut mempunyai koleksi lima Supercoppa Italiana dan empat gelaran Coppa Italia di samping tiga kali muncul finalis Liga Juara-Juara (UCL).

Penghijrahannya ke PSG musim lalu menyaksikannya memenangi gelaran Ligue 1 dan Trophee des Champions di bawah bimbingan Thomas Tuchel.