"Ini pasukan baru, era baru."

Itu kata pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan, yang bertekad membantu skuad Harimau Malaya memburu tiga mata di Hanoi ketika berdepan Vietnam, Khamis ini, serta enggan menjadikan rekod pertemuan lalu sebagai ukuran.

Rekod pertemuan menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mencatat keputusan seri sekali dan tewas dua kali kepada Vietnam dalam saingan Piala Suzuki AFF 2018.

Namun, Brendan yang baru kembali menyarung jersi kebangsaan selepas tiga tahun, jelas lebih bersemangat dalam memastikan kebangkitan Harimau Malaya menjelang perlawanan ketiga saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi itu.

Bagi pemain tengah Perak itu, jika Malaysia turun dengan skuad baru, tidak mustahil pihak lawan bakal tampil dengan sesuatu yang berbeza.

"Saya fikir kami mempunyai skuad yang berbeza. Kami beraksi dengan corak berbeza, lebih yakin memegang bola dari bawah," katanya.

"Vietnam sentiasa pasukan yang bagus dan semua tahu mereka mempunyai rekod pertemuan yang baik dengan kami tetapi ini adalah era baru. Kami hanya perlu yakin untuk menghadapi aksi ini."

Dalam kempen kelayakan kali ini, skuad negara telah merekodkan satu kemenangan menentang Indonesia dalam perlawanan pembukaan sebelum tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua Kumpulan G.

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Cheng Hoe, mengingatkan barisan pemain negara supaya sentiasa berwaspada dengan serangan pantas Vietnam dalam aksi Khamis ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan sebarang kealpaan, terutama di barisan pertahanan, perlu dielakkan kerana pasukan lawan sentiasa mempamerkan permainan pantas.

Bagaimanapun, dia yakin skuad 23 pemain yang dibawa kali ini mampu menyerap tekanan daripada penyokong skuad 'The Red Stars' itu dalam perlawanan berkenaan nanti.

"Masalah penyokong yang ramai tidak menjadi masalah untuk kami kerana pemain pernah beraksi di hadapan penyokong yang ramai, terutama di Stadium Nasional Bukit Jalil, jadi tiada halangan besar di situ.

"Cuma, kami perlu berhati-hati dengan corak permainan bertahan dan serangan balas pantas daripada Vietnam," katanya ketika ditemui pemberita sebelum skuad negara berlepas ke Hanoi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Cheng Hoe turut mengesahkan kesemua 23 pemain yang dibawa ke Hanoi, termasuk pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh, bebas daripada sebarang kecederaan, sekali gus memberi tonik tambahan untuk menghadapi Vietnam.

"Bertandang ke Vietnam bukan satu tugas mudah tetapi saya hendak pemain bermain sekali lagi dengan penuh keyakinan dan kena fokus untuk dapatkan satu keputusan positif supaya cabaran kami lebih mudah selepas ini," jelas pengendali kelahiran Kedah itu yang meminta barisan 23 pemain agar melupakan rekod pertemuan terdahulu dengan Vietnam.

Untuk rekod, Malaysia kalah dengan agregat 2-3 dalam aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.