Richarlison mengakui Neymar dirindui oleh skuad kebangsaan Brazil tetapi penyerang Everton itu yakin dia mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kapten itu.

Neymar akan terlepas aksi persahabatan berdepan Panama esok serta Republik Czech tiga hari kemudian memandangkan dia sedang menjalani pemulihan kecederaan metatarsal yang dialami sewaktu bersama Paris Saint-Germain (PSG), Januari lalu.

Richarlison sedar kepentingan Neymar buat pasukan gergasi Amerika Selatan itu, namun dia tetap percaya rakan sepasukannya mampu bekerjasama dengan baik.

"Saya rasa Neymar sangat dirindukan," ujar Richarlison. "Dia adalah pemain yang hebat.

"Namun, saya sudah bersedia. Semua orang tahu tanggungjawab masing-masing. Jika saya bermain, saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan kebangsaan dan memenangi perlawanan.

"Sudah tentu Neymar mengubah aksi sukar menjadi lebih mudah. Saya rasa kami rindukannya tetapi mari sesuaikan diri tanpa kehadirannya."

Richarlison yang menyumbat gol kemenangan dalam saingan antarabangsa ketika menentang Cameroon, November lalu, turut menambah: "Sejak kali pertama saya hadir, saya datang dengan keinginan untuk bergelar penjaring terbanyak dan mencipta gol dalam semua perlawanan.

"Saya adalah pemain yang sentiasa mahu menjaringkan gol dan saya diharapkan kerana telah melakukannya bersama kelab. Saya mahu terus menghasilkan jaringan. Saya mahu menjadi penjaring terbanyak buat pasukan kebangsaan."