Pemain sayap Barcelona, Malcolm, menerima panggilan skuad kebangsaan Brazil buat pertama kali, menyertai Marcelo dan Gabriel Jesus menjelang pertemuan menentang Argentina dan Arab Saudi bulan depan.

Thiago Silva dan Willian merupakan antara nama yang secara mengejut tidak dibariskan oleh pengendali, Tite, dalam senarai 23 pemain sambil Douglas Costa turut terlepas susulan masalah kecederaan dan disiplin ekoran insiden meludah terhadap pemain Sassuolo, Federico Di Francesco, minggu lalu.

Ketiadaannya memberi ruang buat Malcolm, 21, untuk dipilih bersama dua lagi pemain yang tidak pernah menyarung jersi Brazil bagi menghadapi dua aksi persahabatan walaupun hanya tampil selama enam minit bersama Barca.

Masalah pada bahagian buku lali dan paha menjadi punca Tite menyisihkan Costa, namun dalam masa sama pengendali itu mendedahkan layangan kad merah ketika saingan Serie A turut memainkan peranan.

"Costa tidak dipilih kerana dua faktor, iaitu masalah kecederaan serta insiden yang dilalui," kata Tite.

"Insiden atau kemalangan, saya mahu berhati-hati dengan setiap pemilihan. Disebabkan masalah disiplin, dia tersisih.

"Keutamaan kini adalah skuad Selecao dan setiap pemain yang telah dipilih. Kami akan mendapatkan maklumat tetapi perbincangan dengan Costa akan diadakan kemudian," katanya.

Pertahanan Bordeaux, Pablo, serta penjaga gol muda Gremio, Phelipe, turut dinamakan dalam senarai 23 pemain itu.

Pemilihan Pablo dilihat sebagai langkah awal untuk menggantikan tempat Silva yang kini mencecah usia 33 tahun sementara Willian turut tidak disenaraikan setelah membarisi skuad yang gagal memenuhi sasaran ketika Piala Dunia.

Tonggak Real Madrid, Marcelo, tetap menjadi pilihan untuk mendapatkan keseimbangan pengalaman dalam skuad, bersama trio Manchester City, Jesus, Danilo dan Ederson, setelah ketiga-tiganya terlepas aksi bulan ini sewaktu menundukkan Amerika Syarikat dan El Salvador.

Senarai penuh skuad Brazil:

Alisson (Liverpool), Ederson (Manchester City), Phelipe (Gremio); Danilo (Manchester City), Fabinho (Liverpool), Marcelo (Real Madrid), Marquinhos (PSG), Miranda (Inter), Eder Militao (Porto), Pablo (Bordeaux), Alex Sandro (Juventus); Arthur (Barcelona), Renato Augusto (Beijing Guoan), Casemiro (Real Madrid), Philippe Coutinho (Barcelona), Fred (Manchester United), Malcom (Barcelona), Richarlison (Everton), Walace (Hannover); Everton (Gremio), Roberto Firmino (Liverpool), Gabriel Jesus (Manchester City), Neymar (PSG).