AUSTRIA 0 BRAZIL 3

Neymar melakukan penampilan pertama dalam kesebelasan utama sejak Februari lalu dan mencipta jaringan hebat untuk membantu Brazil menewaskan Austria dalam aksi persahabatan di Vienna, lewat malam tadi.


Menentang lawan yang menundukkan Jerman sebelum ini, Brazil mempertaruhkan trio serangan yang dibarisi oleh Willian, Neymar dan Gabriel Jesus sambil Casemiro dan Philipple Coutinho mengemudi jentera tengah skuad Selecao itu.

Willian hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelapan apabila menerima hantaran Casemiro tetapi percubaan pemain sayap Chelsea itu sekadar menggegarkan tepi jaring gol.

Neymar juga berpeluang untuk menghukum Austria lebih awal apabila kesilapan benteng lawan membolehkannya melepaskan rembatan kaki kanan, namun percubaan pemain termahal dunia itu tepat ke dakapan penjaga gol, Heinz Lindner, pada minit ke-18

Pasukan bimbingan Tite itu akhirnya berada di depan selepas Jesus menghukum kealpaan benteng Austria menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-36 walaupun penyerang Manchester City itu dilihat berada dalam posisi ofsaid.

Bersambung babak kedua, Brazil melebarkan pendahuluan pada minit ke-63, kali ini menerusi Neymar.

Bekas penggempur Barcelona itu tenang menyambut bola hantaran Willian, menggelecek dua pertahanan sebelum tenang menolak masuk gol kedua buat juara dunia lima kali itu.

Enam minit kemudian, giliran Coutinho untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring apabila larian deras bekas tonggak Liverpool itu membolehkannya melencongkan bola melepasi jangkauan Lindner untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Lima minit kemudian, Coutinho hampir menambah gol peribadi menerusi percubaan kaki kanan tetapi kali ini bola tendangannya sekadar singgah ke palang gol.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan, memberikan Brazil semangat untuk memulakan saingan Piala Dunia 2018 apabila berdepan Switzerland bagi aksi pertama peringkat kumpulan pada 18 Jun ini.