ARGENTINA 1 BRAZIL 0

Tite mengakui Brazil di bawah tekanan selepas kemarau tanpa kemenangan berpanjangan apabila tewas 1-0 kepada Argentina dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.


Lionel Messi menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam penampilan semulanya dalam skuad Argentina di Riyadh, dengan menampan masuk selepas Alisson menafikan sepakan penaltinya pada minit ke-13.

Brazil terlebih dahulu memiliki peluang untuk mendahului perlawanan, namun percubaan Gabriel Jesus menerusi sepakan penalti sekadar tersasar dan Brazil kini tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan sejak menjuarai Copa America, Julai lalu.

Tite berkata terdapat tekanan terhadap Brazil -- yang berdepan Korea Selatan dalam satu lagi aksi persahabatan Selasa ini -- yang gagal meraih keputusan positif.

"Brazil memerlukan keputusan yang positif tetapi tekanan kini menyelubungi pasukan ketika ini," kata Tite.

"Kami akan berhati-hati untuk mencari jalan memperbaiki masalah yang dihadapi dan kembali melakar kemenangan."

Brazil turun tanpa Neymar yang masih belum pulih daripada kecederaan dan ketiadaan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu amat dirasai.

Skuad kendalian Tite itu sekadar menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan setakat ini dan beliau kecewa dengan kegagalan pasukan untuk melunaskan peluang.

"Menyempurnakan peluang adalah kunci utama dan sepakan penalti yang diterima harus diterjemahkan kepada jaringan."