Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) telah menghantar aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila mempersoalkan keputusan untuk tidak menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) semasa mereka seri 1-1 dengan Switzerland.

Brazil berang dengan gol penyamaan Steven Zuber di Rostov-On-Don atas dakwaan Miranda terlebih dahulu ditolak selain percaya mereka sepatutnya dihadiahkan penalti membabitkan insiden Gabriel Jesus dan Manuel Akanji.

Dalam surat yang dialamatkan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, CBF mempersoalkan tindakan pengadil Cesar Ramos dan pembantu pengadil video, Paolo Valeri.

Jaringan penyamaan Zuber pada minit ke-50 itu menyaksikan Brazil gagal memenangi perlawanan pembukaan Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan: "Terbukti, pemain Brazil, Miranda, ketika berada di kedudukan bertahan, secara jelas ditolak dan dijatuhkan oleh penjaring gol, Zuber.

"Zuber sengaja menolak Miranda dalam dua kesempatan berbeza dengan kedua-dua tangannya. Kesempatan kedua lebih jelas kerana jarak di antara kedua-dua pemain.

"Tindakan itu jelas merupakan kekasaran yang memberi kelebihan yang tidak dapat disangkal lagi kepada Zuber memandangkan Miranda tidak dapat bertahan dan mengawal bola itu. Pengadil tidak menyedari kekasaran itu dan Zuber menjaringkan gol penting."

Selain tidak berpuas hati dengan dua kekasaran itu, CBF juga berpendapat rungutan Gabriel Jesus pada minit ke-74 telah diabaikan dan penalti sepatutnya diberikan.

"Gabriel Jesus, yang mengendalikan bola di dalam kawasan penalti Switzerland memiliki peluang terhidang untuk menjaringkan gol, tetapi pergerakan telah disekat Akanji dengan kedua-dua belah tangannya lalu dia terjatuh, ia penalti yang jelas.

"Pengadil bagaimanapun tidak campur tangan dan membiarkan tindakan itu berterusan, " kata kenyataan itu.

Brazil akan bertemu Costa Rica pada Jumaat sebelum menamatkan perlawanan Kumpulan E menentang Serbia.