Julian Brandt berpendapat kempen 2018 yang dilalui Jerman merupakan satu tamparan buat mereka, namun yakin Die Mannschaft akan bangkit dan kembali bergelar pasukan elit.

Pemenang Piala Dunia 2014 itu gagal mempertahankan trofi di Russia tahun lalu selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan dan mereka juga disingkirkan daripada peringkat tertinggi Liga Negara-Negara UEFA selepas mengakhiri saingan di tangga terbawah di belakang Belanda dan Perancis.

Kalendar tahun ini menyaksikan permulaan suram buat Jerman apabila dicemuh ketika sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi persahabatan menentang Serbia di Wolfsburg tetapi Brandt yakin kualiti pasukannya akan dapat dilihat tidak lama lagi.

"Kadangkala, anda akan melalui tahun yang tidak menjadi dan ia memang berlaku," katanya.

"Anda akan kembali mencuba untuk bangkit. Jadi, situasi itu membuatkan anda mengenali diri anda.

"Kami tidak perlu menyembunyikan bahawa kami melalui tahun yang buruk."

Jerman bakal berdepan Belanda dalam perlawanan pertama kelayakan Euro 2020 awal pagi Isnin ini tatkala skuad kendalian Ronald Koeman itu membelasah Belarus 4-0 kelmarin.

Jerman kendalian Joachim Low itu yang menentang Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, tewas 3-0 sebelum meraih keputusan seri 2-2 dalam aksi kedua di Gelsenkirchen.

Bagaimanapun, Brandt menyifatkan aksi kedua pada November lalu sebagai gambaran sebenar bahawa Jerman masih mampu bersaing dengan pasukan elit dunia.

"Dalam perlawanan menentang Belanda, kami lihat kedua-dua pasukan berada di tahap sama," tambah Brandt.

"Ketika aksi pertama, kami tewas tetapi kemudian melepaskan peluang kemenangan sewaktu pertemuan kedua.

"Jadi, kami tidak menunjukkan kami sangat teruk. Kami adalah pasukan bagus walaupun menerima keputusan yang tidak dinginkan. Ia akan berubah, saya pasti."