Leonardo Bonucci kembali menjalani sesi latihan utama Juventus selepas dua minggu tersisih ekoran kecederaan buku lali, dengan perkembangan itu disahkan juara Serie A berkenaan.

Pertahanan tengah itu terpaksa digantikan sebelum rehat dalam kemenangan 2-1 Juve ke atas Lazio pada 27 Januari lalu.

Pasukan perubatan Juve melaporkan Bonucci mengalami kecederaan pergelangan kaki kanan dan dijangka perlu berehat sebulan.

Situasi itu meletakkannya dalam keraguan untuk menghadapi Atletico Madrid dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), minggu depan.

Bagaimanapun, dia kembali mengikuti sesi latihan penuh Juve semalam dan secara tidak langsung diramal akan sempat cergas untuk kunjungan ke Madrid.

Cristiano Ronaldo, Giorgio Chiellini dan Douglas Costa masing-masing menjalani latihan secara berasingan daripada kumpulan utama dengan laporan bahawa masalah paha mereka beransur-ansur pulih.