Leonardo Bonucci berpendapat sudah tiba masanya untuk mengurangkan fokus terhadap penyerang Itali, Mario Balotelli, selepas skuad Azzurri itu tewas 3-1 dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Jaringan daripada Samuel Umtiti, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele membolehkan Les Bleus mencatat kemenangan di Nice sambil Bonucci muncul penjaring gol sagu hati buat pelawat.

Balotelli menampilkan aksi cemerlang apabila turun buat kali pertama bersama skuad Itali ketika perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi sebelum ini dan dia turut menjaringkan satu gol tetapi hanya melakukan dua percubaan ketika aksi di Allianz Riviera.

Bonucci, yang mengetuai Itali pada awal pagi tadi walaupun sebelum ini pengendali, Roberto Mancini, berpendapat Balotelli lebih berhak memakai lilitan ketua pasukan, dilihat sudah mula kecewa apabila media lebih banyak memberikan perhatian kepada bekas penyerang AC Milan dan Manchester City itu.

"Cukup-cukuplah dengan soalan tentang Balotelli," kata Bonucci.

"Dia seorang pemain yang melakukan kesilapan seperti pemain lain. Dia juga menjaringkan gol seperti individu lain.

"Balotelli bekerja keras, mendapatkan pengalaman dan datang ke sini dengan disiplin tetapi cukuplah untuk bercakap tentangnya. Kami adalah satu pasukan dan tidak boleh memberikan tekanan yang melampau kepadanya atau memperkecilkan sumbangan pemain lain," tegasnya.

Aksi persahabatan di Nice itu juga menyaksikan penampilan beberapa muka baru seperti Mattia Caldara, Rolando Mandragora dan Domenico Berardi, sekali gus membuatkan Bonucci gembira melihat pemain-pemain muda menimba ilmu sewaktu menentang pasukan besar seperti Perancis.

"Situasi ini boleh menambah pengalaman. Tiada siapa yang sukakan kekalahan tetapi kami berpeluang untuk menjadikannya 2-2.

"Aksi bertemu Arab Saudi sangat berbeza kerana pemain-pemain menjalankan tugas dengan sempurna.

"Ketika ini, Perancis jauh meninggalkan kami dan Itali harus bekerja keras untuk merapatkan jurang perbezaan itu. Dalam masa sama, kami masih di landasan terbaik."