Bola Sepak MSSM: Jumpa Terengganu dalam final, Kelantan mahu bayar hutang lama 

Oleh Farizal Yusoff  10 Ogos 2017
Bola Sepak MSSM: Jumpa Terengganu dalam final, Kelantan mahu bayar hutang lama 
Impian Kelantan membalas dendam kekalahan lima tahun lepas kepada Terengganu makin membara apabila kedua-dua pasukan sekali lagi mara ke final Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 Bawah 18 Tahun (B-18)  di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam esok.

Dalam separuh akhir yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), pagi tadi, Kelantan menumpaskan Kuala Lumpur 2-1 manakala Terengganu membuktikan kehebatan apabila menyingkirkan Melaka 3-0.

Ketua jurulatih Kelantan, Rizalman Hassan, yakin kekalahan 1-0 kepada Terengganu lima tahun lepas boleh ditebus berdasarkan semangat perjuangan tinggi  pemain Kelantan  yang memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

“Pertamanya, syukur kepada Allah kami mampu ke final sekali lagi selepas kali terakhir pada 2012. Pada masa itu, Kelantan terpaksa berpuas hati bergelar naib johan apabila kalah 1-0 kepada Terengganu.

“Tahun ini, kami mara sekali lagi ke final dan berjumpa kembali dengan musuh tradisi, Terengganu. Insya-Allah, Kelantan cukup bersedia untuk mencipta kemenangan di Stadium Darulmakmur, malam esok,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan skuad MSSM Kelantan musim ini, Rizalman menjelaskan kualiti pemain yang dimilikinya menjadi salah satu faktor Kelantan beraksi dengan cemerlang.

“Majoriti pemain datangnya daripada Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan bergabung dengan pemain terbaik Sekolah Sukan Negeri (SSN) serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di Kelantan.  

“Alhamdulillah, gabungan kesemua pemain terbaik yang dimiliki oleh Kelantan membolehkan kami beraksi dengan lebih tersusun dan mencipta gerakan terbaik untuk mengalahkan lawan,” katanya.

Tentang Penulis

 Farizal Yusoff 

Komen