Baru-baru ini, viral satu kenyataan mengatakan kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah yang bakal diadakan tahun ini tidak mengikut format Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Difahamkan, keputusan mengenai format pertandingan itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat, 16 Mei lalu, di mana ia termasuk mengenai masa permainan dan jumlah pemain.

Menurut kenyataan yang viral terbabit, masa permainan ialah 10-3-10 bagi semua kategori iaitu B-12, B-15, dan B-18 dengan kesemuanya juga akan berlangsung secara 9 sebelah serta offside akan diambil kira.

Selain itu, jumlah pemain untuk didaftarkan bagi kesemua kategori itu juga dikurang iaitu daripada 15 ke 13 pemain bagi B-12 dan masing-masing daripada 18 ke 15 pemain bagi B-15 serta B-18.

Kenyataan yang viral itu juga turut menyatakan format kejohanan bagi peringkat kebangsaan iaitu masa permainan 30-10-30 bagi B-12 dengan jumlah 15 pemain, masa 35-10-35 bagi B-15 dengan jumlah 18 pemain dan masa 45-15-45 bagi B-18 dengan jumlah 18 pemain.

Selain itu, hanya B-12 yang menggunakan peraturan 9 sebelah manakala bagi B-15 dan B-18, ianya adalah 11 sebelah.

Jumlah pemain itu sebenarnya bukanlah isu penting namun bagi format masa permainan serta peraturan 9 sebelah dengan offside dilihat sangat kurang praktikal walaupun pertukaran pemain dibuat secara 'rolling'.

Sembilan sebelah dengan peraturan offside sebenarnya telah dilaksanakan untuk B-12 sebelum ini, namun bagi B-15 dan B-18, ia adalah kali pertama dibuat.

Sekiranya apa yang diviralkan itu adalah benar, yang menjadi persoalan adalah bagaimana pihak penganjur mahu memilih pemain terbaik bagi mewakili negeri di MSSM nanti?

Bagaimana mungkin dengan format masa 10-3-10 khususnya bagi kategori B-15 dan B-18 adalah cukup untuk para pemain, mungkin baru mahu 'panas' pengadil sudah pun meniupkan wisel penamat.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana kekangan bajet dan itu boleh difahami, namun, standard dan kualiti kejohanan juga perlu dijaga.

Format kejohanan kali ini dilihat seperti 'sekadar melepas batuk di tangga', tujuannya seakan-akan hanyalah untuk menganjur dan menyelesaikan kejohanan tanpa memikirkan 'isi' sebenar iaitu melahirkan serta mencari bakat dalam bola sepak.

Jika tidak pun bercita-cita untuk menghantar pasukan ke peringkat MSSM kerana kekangan kewangan, sekurang-kurangnya penganjuran di peringkat negeri adalah 'standard' sikit, bukannya seperti kejohanan kampung.

Semoga perkara ini diberi perhatian oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bagi memastikan kejohanan ini lebih berkesan kerana ia adalah kejohanan peringkat negeri.

*Sumber imej - Media sosial